Intim4Ever

Blog Intimasi Suami Isteri

Kerosakan Buah Pinggang Penyebab Mati Pucuk

GEJALA bengkak khususnya pada muka dan keliling mata, pergelangan tangan, abdomen, paha dan buku lali; air kencing berbuih, bercampur darah atau berubah menjadi pekat (berwarna gelap); kerap buang air kecil walaupun minum sedikit dan berasa sakit setiap kali buang air kecil antara tanda penting bagi kerosakan buah pinggang.

Kerosakan buah pinggang juga menyebabkan seseorang merasa tidak sihat, pucat, cepat penat; tekanan darah meningkat, lebih kerap buang air kecil pada waktu malam, kitaran haid terganggu, hilang keinginan seks (atau mati pucuk), selera makan merosot dan mulut terasa pahit dan sukar tidur.

Namun, masalahnya gejala disenaraikan di atas hanya muncul apabila buah pinggang mengalami kerosakan teruk. Kebanyakan pesakit tidak sedar mereka mengalami masalah ini kerana kerosakan buah pinggang berlaku secara senyap tanpa gejala.

.

Kerosakan Buah Pinggang Penyebab Mati Pucuk

.

Buah pinggang yang mengalami 70 peratus kerosakan masih boleh menapis darah dengan baik dan masalah kesihatan hanya muncul jika jumlah fungsi kedua-dua buah pinggang kurang daripada 30 peratus.

Ia kini menjadi masalah yang semakin membimbangkan kerana ia berkait rapat dengan kencing manis. Setiap tahun dianggarkan 2,500 orang mengalami kerosakan buah pinggang dan sehingga 2008, lebih 15,800 kes dialisis dengan 1,157 kes baru.

Menurut Perunding Nefrologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Tan Wee Ming, punca utama kerosakan buah pinggang ialah penyakit kencing manis (54 peratus daripada kes yang perlu dialisis).

Antara perkara yang turut menyumbang kepada kerosakan ini ialah faktor genetik (sejarah keluarga sakit buah pinggang), gaya hidup tidak aktif, jarang bersenam, tabiat pemakanan tidak sihat, masalah kolesterol tinggi, obesiti, penuaan dan merokok.

Bagaimanapun, selagi seseorang itu tidak sampai ke tahap memerlukan dialisis, bermakna masih ada harapan untuk memperlahan atau menghentikan kerosakan buah pinggang. Apabila seseorang disahkan perlu menjalani dialisis, bermakna buah pinggangnya gagal berfungsi iaitu tidak lagi mampu menapis darah.

Ini sebabnya kita perlu sentiasa peka terhadap perubahan pada diri sendiri. Jika anda berasa was-was atau mempunyai sebahagian daripada faktor risiko seperti di atas, segera berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan. Ada banyak kaedah mudah untuk mengesan kegagalan buah pinggang seperti:

# Ujian darah (bagi menguji kehadiran bahan sisa nitirogen seperti urea dan kreatinin iaitu dua bahan kumuh yang sepatutnya dibuang melalui air kencing)

# Ujian air kencing

# Sinar-X atau IVU

# Imbasan bunyi (bagi mengesan kehadiran sista, batu karang atau ketumbuhan)

# Imbasan CT (untuk mengesan ketumbuhan)

# Imbasan Magnetik Resonans (MRI) (bagi mengetahui sama ada berlaku penyempitan salur darah ke buah pinggang)

# Biopsi buah pinggang

Selepas keputusan ujian positif, pesakit perlu menjalani rawatan bagi memperlahankan proses kerosakan buah pinggang. Selain pengambilan ubat, pesakit dikehendaki mengubah gaya hidup dengan berhenti merokok, kerap bersenam dan menjaga pemakanan supaya beberapa perkara dapat dikawal dengan baik. Antara yang perlu dikawal ialah:

# Tekanan darah

# Paras gula dalam darah (bagi pesakit kencing manis)

# Paras kolesterol dalam darah

Kawalan pemakanan sangat penting, terutama bagi pengambilan protein, garam, fosfat, potassium, kolesterol dan gula, kerana ia boleh merangsang kerosakan buah pinggang jika diambil berlebihan. Diet rendah protein digunakan untuk mengurangkan gejala berkaitan pengumpulan bahan sisa nitrogen dalam darah.

Ia boleh dilakukan dengan mengurangkan pengambilan makanan kaya protein seperti ikan, daging, makanan laut, kekacang atau biji-bijian, susu dan produk tenusu.

Namun, kebimbangan dan terlalu berhati-hati menimbulkan masalah lain pula iaitu kekurangan asid amino perlu dan tidak cukup zat. Perlu diingat, badan kita tidak boleh menghasilkan asid amino perlu ini dan ia hanya didapati daripada makanan.

Ini sebabnya pesakit perlu ambil ubat dan pil makanan tambahan yang membekalkan asid amino dan ketoanalog (terapi asid keto) dengan pemakanan kurang protein. Ia memperlahankan kerosakan buah pinggang dan mengekalkan status zat pesakit.

Untuk mengetahui berapa banyak protein boleh diambil, pesakit perlu merujuk kepada pakar pemakanan kerana keadaan setiap pesakit berbeza.

Bagaimanapun, bukan semua pesakit perlu mengawal pengambilan fosfat dan potassium. Sekatan ini dikenakan jika kerosakan buah pinggang adalah teruk.

Namun secara umumnya, kawalan lebih penting ialah pada jumlah pengambilan protein iaitu hanya 0.6 gram bagi setiap kilogram berat badan dan fosfat antara 800 hingga 1,000 miligram saja.

Setiap pesakit mempunyai piramid makanan mereka. Keperluan kalori harian mereka juga berbeza dengan orang sihat kerana ia dikira berdasarkan berat badan dan umur, iaitu dengan kaedah di bawah bagi mengelak masalah tidak cukup zat atau menjadi gemuk. Keperluan ini juga berubah dari semasa ke semasa; tertakluk kepada keadaan kesihatan buah pinggang mereka.

Justeru, pesakit perlu menjalani pemeriksaan secara berkala dan mendapatkan nasihat pakar pemakanan mengenai keperluan harian mereka. Pakar pemakanan akan membuat pengiraan keperluan harian anda dan pesakit perlu mematuhinya.

Amalan diet mengikut pelan dirancang disertakan pengambilan ubat boleh memperlahankan kerosakan buah pinggang dan mengelak pesakit menjalani dialisis.

Pada masa sama, keluarga perlu bersama-sama memainkan peranan dalam penjagaan pemakanan pesakit buah pinggang kronik dengan mengetahui jenis makanan yang mesti dielak atau dikurangkan.

Mereka (terutama pasangan atau penjaga) perlu belajar pelbagai masakan supaya menu sihat untuk pesakit tidak membosankan.

Sebagai panduan umum, ada beberapa resipi yang disediakan tukang masak dari Universiti Sunway (Chef Loke Hoi Weng dan Chef Andy Woon) dalam bengkel pemakanan ‘Penjagaan Lebih Baik’ anjuran Pusat Perubatan Sunway dengan kerjasama Fresenius Kabi untuk jadikan contoh.

Bengkel yang diadakan untuk pesakit (khususnya yang mengambil pil tambahan asid keto) dan penjaga bertujuan memberi panduan terhadap pengurusan tekanan darah tinggi dan mengurangkan risiko penyakit bertambah teruk.

Antara panduan pemakanan umum untuk pesakit ialah:

# Kurangkan pengambilan protein (jumlahnya mengikut berat badan pesakit)

# Mengehadkan pengambilan garam kepada empat hingga enam gram sehari bagi mengelak retensi (pengumpulan air) dalam badan dan mengawal tekanan darah

# Hadkan pengambilan potassium kerana buah pinggang tidak lagi berupaya menyingkir potassium berlebihan daripada badan. Berlebihan potassium boleh menyebabkan degupan jantung tidak normal. Sumber makanan yang kaya potassium ialah pisang, oren, buah-buahan kering, kekacang dan sesetengah sayur berdaun hijau.

credit: hmetro
 
 
                                                               ———————————————————————-

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 10.0/10 (1 vote cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: +1 (from 1 vote)
MASALAH BUAH PINGGANG AKIBATKAN MATI PUCUK, 10.0 out of 10 based on 1 rating

Originally posted 2012-04-16 04:52:52. Republished by Blog Post Promoter

Categories: INFO MATI PUCUK

Leave a Reply