OSBON Juara Maharaja Lawak Mega 2011

OSBON Juara Maharaja Lawak Mega 2011 Sememangnyer Kelakar

Juara Maharaja Lawak Mega (MLM), Osbon tidak mendabik dada dengan kemenangan mereka malam tadi. Sebaliknya mereka menganggap kemenangan itu adalah atas sokongan peminat dan juga keikhlasan mereka dalam berlawak-jenaka. Secara keseluruhan, Osbon mendapat undian 31.1 peratus meninggalkan Boboi dengan 29.3 peratus, Saehu 22 peratus dan Syok  17.5 peratus.

.

osbon-juara-maharaja-lawak-mega-2011

.

Dalam sidang media yang diadakan kelmarin, Os memberitahu sepanjang 10 minggu MLM bersiaran, dia dan Abon cuba mempelbagaikan watak supaya peminat tidak jemu persembahan mereka.

“Setiap watak yang kami lakonkan bersesuaian dengan isu yang kami mahu ketengahan. Kami cuba mempelbagaikan watak untuk meraih undi daripada penonton. Kalau penonton diberikan benda yang sama, pasti mereka berasa bosan dan jemu. Selain menggunakan idea sendiri, kami juga mengambil kira permintaan peminat. Syukur, akhirnya kemenangan berpihak kepada kami,” ujar Abon pula.

Dalam masa yang sama, kedua-dua pelawak ini mengakui mereka tidak ambil kisah atau ambil hati dengan setiap kritikan yang diberikan oleh barisan juri profesional. Bagi mereka itu adalah tanggungjawab mereka untuk memberi pendapat.

“Saya tidak ambil kisah dengan kritikan juri. Itu tanggungjawab mereka untuk menilai persembahan kami pada setiap minggu. Saya tidak rasa kata-kata mereka itu terlalu teruk. Kalau ikutkan, Abon kenakan saya lebih teruk di atas pentas. Jadi, tidak mengapalah. Lagipun, saya sudah lalui perkara ini sejak di awal penglibatan saya dalam dunia seni. Ketika saya datang ujibakat untuk program nyanyian di RTM, mereka telah kritik saya. Begitu juga dengan filem-filem saya sebelum ini. Pernah mendapat kritikan hebat. Bagi saya, kalau saya tidak boleh menerima kritikan, itu bermakna saya tidak boleh berkarya lagi. Kritikan itu sebenarnya membentuk diri kita sekarang ini,” ujar Os berterus-terang.

Abon pula punya cerita berbeza. Pelawak yang sinomin dengan loghat jawa ini mengakui dia berasa terpinga-pinga ketika dikritik oleh mereka yang tidak punya pengalaman berlawak –jenaka.

“Tiga minggu pertama kena kritik dengan barisan juri profesional, saya macam terpinga-pinga sebab masing-masing dalam bidang berbeza. Mereka bukan pelawak. Tetapi lama-kelamaan, saya kagum dengan pendapat profesional mereka. Tak sangka mereka boleh memberi pendapat yang baik. Jadi, untuk membuktikan kami boleh lakukan yang terbaik, kami cuba mencari idea yang mampu menghiburkan juri dan juga penonton,” ujar Abon pula.

Guna wang kemenangan secara bijak

Menyentuh tentang wang kemenangan RM350,000 yang dimenangi, masing-masing mengakui akan menggunakan wang itu sebaik mungkin. Bagi Os, dia tidak berhasrat untuk membeli teksi baru, sebaliknya akan mengubah-suai teksi sekarang ini agar lebih selesa.

“Os tetap Os dan saya akan tetap membawa teksi selepas ini. Kalau ada tawaran berlakon atau berlawak-jenaka, saya akan buat. Wang kemenangan yang saya perolehi itu, saya tidak rancang pun hendak beli teksi baru sebab teksi sekarang masih elok lagi. Bagaimanapun, saya mahu ubah-suai sedikit untuk keselesaan. Selebihnya, saya akan gunakan untuk perbelanjaan anak-anak,” ujar Os.

“Saya pula akan terus berlawak sebab ini adalah mata pencarian saya selama ini. Tentang wang itu, saya masih belum terfikir hendak buat apa lagi. Tapi sudah tentu akan digunakan dengan baik,” ujar Abon pula.

MLM yang disiarkan secara langsung di Astro Warna malam tadi menyaksikan setiap peserta melalui dua pusingan. Pusingan pertama peserta diberi kebebasan untuk berkarya. Manakala untuk pusingan kedua, setiap kumpulan perlu mengikut tema muzikal.

Osbon dan Boboi mendapat sorakan hebat setiap kali beraksi kerana lawak-jenaka yang ditampilkan cukup menggelikan hati. Kumpulan dari Indonesia , Saehu juga tidak menghampakan, cuma kumpulan Syok bagaikan kehilangan idea. Persembahan mereka gagal mengundang tawa penonton di Stadium Malawati, Shah Alam.

 

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 0.0/10 (0 votes cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 0 (from 0 votes)

Republished by Blog Post Promoter

Comments are closed.